Pengenalan

Anak adalah anugerah dan amanah yang sangat tinggi nilainya daripada Pencipta kepada manusia untuk kelangsungan zuriat kemanusiaan dan kehidupan sejagat.  Setiap anak yang dilahirkan mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan berhak diberikan pendidikan oleh ibubapa dan masyarakat.  Kanak-kanak autisma, Down Syndrom, kurang pendengaran, kurang penglihatan adalah beberapa keadaan yang digolongkan di bawah kategori anak-anak istimewa.

Menurut Bangsa-bangsa Bersatu bilangan orang kelainan upaya (OKU) adalah 10% daripada jumlah penduduk sesuatu negara.  Oleh yang demikian Malaysia mempunyai 2.8 juta orang kelainan upaya, namun yang mendaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga Ogos 2010, hanyalah 313,685 orang.  Ini bermakna masalah yang melibatkan OKU perlu diberi perhatian kerana antara lain ia memberi kesan kepada guna tenaga negara.

Keadaan anak-anak OKU membataskan mereka mendapat pendidikan formal terutama dalam pendidikan agama dan pembacaan al-Quran yang merupakan pendidikan yang wajib diberikan oleh setiap ibubapa/penjaga Muslim kepada anak-anak mereka.  Melalui pengajian al-Quran seperti yang dibuktikan oleh banyak pusat pendidikan al-Quran di negara ini berjaya melahirkan manusia yang berjiwa dan berakhlak murni, dan seterusnya membentuk tenga manusia yang berguna kepada negara.

Namun, kajian di Malaysia menunjukkan anak-anak istimewa yang berugama Islam tidak mempunyai tempat khas untuk mendapatkan pendidikan membaca al-Quran dan pendidikan ugama. Kelas-kelas KAFA juga tidak dapat menerima mereka kerana kekangan di peringkat pengetahuan dan kemahiran pengajar, sistem pengajaran, infrastruktur dan keselamatan untuk semua pihak.

Dalam perkembangan yang lain pula, Malaysia turut kehilangan potensi insan dan terpaksa membelanjakan banyak wang dalam isu penderaan kanak-kanak (UNICEF Malaysia, 2010) dan kanak-kanak jalanan.  Mengikut takrifan antarabangsa kanak-kanak adalah mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Kes penderaan meningkat 700 kes setiap tahun dari 2006 sehingga 2008 dengan sebanyak 2780 kes dilaporkan pada 2008: 952 kes pengabaian, 863 kes dera secara fizikal, 733 kes secara seksual dan 58 bayi yang dibuang.  Kes kanak-kanak jalanan juga turut meningkat ekoran daripada pelbagai sebab termasuk faktor ekonomi ibubapa, lari dari rumah, terpedaya dan sebagainya.  Kedua-dua golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu/Islam.

Melihat akan kedua-dua senario di atas, ternyata bahawa di satu pihak terdapat masalah kekurangan tenaga pengajar yang runcing untuk membimbing anak-anak istimewa membaca Al-Quran dan di satu pihak yang lain pula terdapat sekumpulan kanak-kanak yang terbiar dan tercalar emosinya yang memerlukan peluang kedua untuk menjadi manusia yang berguna.  Dua kelompok ini boleh dipadankan mengikut prinsip Blue Ocean Strategy. Oleh yang demikian, Universiti Teknologi Malaysia melalui Sekolah Informatik Termaju (UTM AIS)  terpanggil untuk mencadangkan satu program komuniti yang digelar sebagai program penubuhan skuad asatizah muda.

Asatizah bermaksud ‘ustaz dan ustazah’ dalam bahasa Arab.  Maka asatizah muda di sini bermaksud  pembantu ustaz dan ustazah.  Walaupun gelaran ini nampak agak berat untuk diberi kepada kanak-kanak jalanan namun dengan pendekatan Ulul Albab yang disusun khas untuk golongan ini, (In sya Allah) program ini boleh diterima oleh peserta dan seterusnya peserta akan mampu menjalankan amanah untuk membimbing adik-adik istimewa mereka untuk membaca al-Quran. Pada masa yang sama mereka juga akan mendapat transformasi minda dan rohani berserta dengan kemahiran teknologi maklumat.

UTM AIS dengan kerjasama Puteri UMNO Kg. Bharu, Institut Paedetrik Hospital KL, pusat jagaan di Kg. Periuk-Chow Kit dan Yayasan Faqeh akan menyediakan prasarana, pengajar, modul, dan persekitaran yang relevan dan kondusif untuk penyampaian modul Asatizah ini dilaksanakan.

Hasil akhir program ini adalah pembentukan skuad asatizah muda yang boleh dimanfaatkan perkhidmatan mereka oleh pengusaha-pengusaha pusat jagaan anak-anak autisma di sekitar Lembah Kelang seperti di UTM sendiri, di kawasan PPR, di pusat pengajian al-Quran dan taska.  Pusat pengajian al-Quran, Arabic2U di Bangi dan taska LETZHOP cawangan Selayang telahpun bersetuju untuk mengambil bahagian dalam program ini.

Adalah diharapkan program ini akan membantu kanak-kanak jalanan untuk keluar daripada kepompong status quo untuk menjadi warganegara Malaysia yang budiman, bertanggung jawab dan berdikari.

Print Friendly, PDF & Email

Comments are closed